DUNIA

PERJANJIAN GENCATAN SENJATA: SINGAPURA SAMBUT BAIK, SOKONG INISIATIF KEMANUSIAAN DI GAZA

17/01/2025 12:30 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 16 Jan (Bernama) -- Singapura menyambut baik perjanjian gencatan senjata di Gaza, menyatakan harapan ia akan membuka jalan kepada peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan dan pembebasan semua tawanan.

Kementerian Luar (MFA) dalam satu kenyataan berkata Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan kongsinya di rantau ini, terutamanya Jordan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Qatar dan Cyprus, untuk menyokong inisiatif kemanusiaan untuk orang awam di Gaza.

“Kami juga akan meningkatkan penglibatan dengan Pihak Berkuasa Palestin menerusi Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat kami yang memfokuskan kepada pembinaan kapasiti dan biasiswa,” menurut MFA pada Khamis.

Singapura turut berharap agar dalam tempoh masa yang munasabah, Israel dan Palestin akan mencapai penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

“Ini adalah satu-satunya jalan penyelesaian yang praktikal untuk mencapai penyelesaian komprehensif, adil, dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin yang berlarutan,” tambah kementerian.

Sementara itu, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai sinar harapan dan cahaya di penghujung terowong yang sangat panjang dan penuh kesengsaraan.

Beliau berkata sejak 15 bulan lepas yang menyeksakan itu, terlalu ramai yang menderita, dengan terlalu banyak kematian dan kemusnahan.

Balakrishnan turut berterima kasih kepada rakyat Singapura atas kemurahan hati mereka sejak tahun lepas, dengan menyatakan bahawa lebih daripada S$18 juta telah didermakan setakat ini untuk rakyat Palestin.

Beliau berkata Singapura telah menghantar enam kumpulan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan merancang untuk menghantar penghantaran tambahan tidak lama lagi dan menjangka untuk memulakan pengumpulan dana selanjutnya, terutamanya pada Ramadan.

“Adalah penting untuk kita terus mengingati bahawa terdapat orang di bahagian lain dunia yang memerlukan bantuan dan sangat memerlukannya. Kami akan terus menyokong rakyat Palestin,” katanya.

Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani pada Rabu mengumumkan bahawa usaha pengantaraan bersama Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat berjaya mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pertukaran tahanan antara Hamas dan Israel.

Perjanjian yang akan berkuat kuasa Ahad ini (19 Jan) antara lain menetapkan Hamas akan membebaskan 33 tawanan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan