EKONOMI

PENGLIBATAN TNB DALAM SEKTOR TBB DI UK BAWA MANFAAT PINDAHAN TEKNOLOGI MALAYSIA - PM ANWAR

17/01/2025 07:01 AM

Oleh D.Arul Rajoo

LONDON, 17 Jan (Bernama) - Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan penglibatan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB) di United Kingdom (UK) akan membawa manfaat jangka panjang yang besar kepada Malaysia, terutamanya dari segi pindahan teknologi.

Perdana Menteri menekankan bahawa Malaysia sedang giat mencari pelaburan baharu dalam sektor TBB didorong oleh pertumbuhan teguh ekonomi dan perkembangan pesat di rantau Asia Tenggara.

“Dengan perubahan masa, anda menyedari bahawa kini terdapat peralihan daripada penggunaan tenaga konvensional kepada tenaga baharu, tenaga boleh diperbaharui.

"Dan TNB sebagai pemain utama telah menunjukkan prestasi yang luar biasa,” katanya pada majlis pelancaran ladang solar berkapasiti 102 Megawatt (MW) Eastfield dan Bunkers Hill TNB di sini, hari ini.

 Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Dalam konteks ASEAN, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan mengutamakan untuk meningkatkan kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN, satu inisiatif kritikal bagi memajukan peralihan tenaga rantau ini.

“Antara langkah utama termasuklah menyepadukan grid tenaga Thai dan Laos ke dalam rangkaian ASEAN yang lebih luas dan mengeksport tenaga hidroelektrik Sarawak ke Singapura.

"Usaha ini menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan jaminan tenaga dan mempercepat peralihan tenaga bersih di Selatan Global,” katanya.

Perdana Menteri berkata TNB bersama-sama pemain lain telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penyelidikan bagi meneroka saluran baharu, khususnya dalam bidang TBB dan memuji usaha syarikat utiliti nasional itu kerana meneruskan pelaburan dalam latihan dan kepakaran.

“Skala pelaburan TNB adalah pada peringkat nasional di sini, dan sudah tentunya memerlukan usaha yang besar.

"Saya berterima kasih kepada TNB atas peranan mereka dalam pelan hala tuju peralihan tenaga,” kata beliau. 

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan