AM

GISBH: 448 KANAK-KANAK KEMBALI KE PANGKUAN KELUARGA - NANCY

17/01/2025 03:19 PM

TUMPAT, 17 Jan (Bernama) -- Seramai 448 kanak-kanak dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) diserahkan semula kepada keluarga masing-masing setakat ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata lima kanak-kanak ditempatkan di bawah penjagaan Orang Yang Layak dan Sesuai manakala 107 lagi ditempatkan di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat berikutan perintah tetap serta interim daripada mahkamah.

“Ada ibu bapa yang mahu menuntut anak mereka tetapi mungkin ada pihak menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang tindakan kerajaan. Saya rasa itu tidak adil.

"Sebelum ini, kami tidak menyerahkan kanak-kanak itu kerana masih menunggu laporan polis dan proses perundangan namun setelah proses itu selesai, kanak-kanak berkenaan perlu dikembalikan kepada ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Integrasi Kasih MADANI sempena penyerahan projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Pasir Pekan Tengah di sini hari ini.

Nancy berkata ibu bapa yang berhasrat mendapatkan semula anak mereka tidak perlu bimbang untuk tampil berbincang dan kementerian tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi, sebaliknya mahu membantu memastikan kebajikan serta keselamatan kanak-kanak berkenaan.

“Kami menjalankan tugas berdasarkan undang-undang. Saya menyeru ibu bapa yang menukar fikiran supaya datang kepada kami.

"Keputusan terbaik perlu dibuat demi kebaikan anak-anak. Walaupun kami menjaga mereka dengan baik, kasih sayang  ibu bapa tidak dapat digantikan," katanya.

Nancy memaklumkan kesemua 560 kanak-kanak berkenaan terdiri 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan selepas JKM memperoleh perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  memberi tumpuan kepada lima aspek utama dalam pelaksanaan pembangunan projek Kampung Angkat MADANI (KAM) di kampung itu dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

Beliau berkata projek KAM bertujuan menyediakan manfaat optimum kepada penduduk melalui kemudahan fizikal serta pelaksanaan aktiviti psikososial bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Antara aspek utama projek ini adalah pembangunan logistik dengan pembinaan jeti terapung menggunakan teknologi biokomposit hasil kerjasama agensi nuklear. Jeti ini akan berfungsi sebagai laluan operasi penyelamatan pihak bomba, terutamanya ketika banjir atau kejadian lemas.

“Bagi penjanaan ekonomi, ia merangkumi aktiviti ternakan ikan dalam sangkar dengan sokongan Jabatan Perikanan termasuk sumbangan 10,000 anak ikan. Selain itu, sebanyak 20 unit lampu solar turut dipasang bagi meningkatkan keselamatan di kawasan yang sebelum ini gelap dan kurang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata projek ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi persekutuan, negeri dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai.

“Saya menyeru semua pihak terlibat dalam projek Kampung Angkat MADANI memberi fokus kepada keperluan kumpulan sasar seperti wanita, kanak-kanak, warga emas, dan Orang Kurang Upaya demi memastikan kesejahteraan masyarakat yang lebih seimbang,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan