EKONOMI

PENGGABUNGAN CAAM-MAVCOM DIJANGKA PADA SEPARUH KEDUA 2025

17/01/2025 08:46 PM

 

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Penggabungan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka pada separuh kedua tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, beliau berkata walaupun proses itu sedang berjalan, beberapa agensi di peringkat pusat perlu meluluskan penggabungan berkenaan sebelum ia boleh diteruskan.

“Banyak lagi proses yang perlu dilakukan. Kami perlu berbincang dengan semua agensi pusat.

"Kami baru sahaja selesai dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, dan minggu depan kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan, diikuti oleh Kementerian Ekonomi," katanya selepas muncul dalam program Bernama TV 'The Nation', di mana beliau membincangkan topik "Keselamatan Penumpang dalam Penerbangan.”

Kapten Norazman menegaskan keperluan untuk menyakinkan agensi-agensi itu bahawa penggabungan boleh dilaksanakan dengan jayanya dan proses itu akan dapat diteruskan secara sendiri tanpa bantuan luar.

CAAM memperoleh hasilnya daripada yuran pandu arah udara, yang membiayai operasi pusat radar di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kami sudah melaksanakan semakan yuran dan caj bermula 1 Januari, dan ini akan menyediakan dana yang diperlukan untuk menyokong peralihan menjadi sebuah entiti bebas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata caj pandu arah udara di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini sebelum ia disemak pada 2016.

“Caj kami mungkin masih lagi lebih rendah dari Thailand, tetapi kami menyediakan perkhidmatan yang sama. Semakan yuran hanya sekali sahaja pada 2016 dan pastinya tidak mencukupi; kami memerlukan tiga hingga empat kali semakan untuk setanding dengan rantau lain,” katanya.

Walaupun tarikh rasmi penggabungan akan diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Kapten Norazman berkata beliau memberi tumpuan untuk memastikan garis masa dipatuhi tanpa mengganggu industri penerbangan.

“Di pihak kami, kami telah mengusahakan kejuruteraan proses perniagaan sejak tahun lepas. Saya akan biarkan menteri mengumumkan tarikh berkenaan," katanya.

 Mengenai skim gaji selepas penggabungan, Kapten Norazman menekankan keperluan untuk menawarkan pampasan yang kompetitif kepada kakitangan teknikal yang berkelayakan (QTP), termasuk juruterbang, jurutera dan pengawal trafik udara.

"Kami perlu memastikan QTP dibayar setanding dengan nilai pasaran. Walaupun kami kini berada di bawah skim JPA, kami kini berusaha ke arah mencapai piawaian korporat," katanya.

Penggabungan itu dijangka menyelaraskan rangka kerja pengawalseliaan penerbangan Malaysia dan meningkatkan kecekapan operasi, seterusnya mengukuhkan daya saing sektor itu.

Ia susulan kelulusan Parlimen terhadap dua rang undang-undang pada 30 Julai: Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.

Yang terakhir melibatkan pembubaran MAVCOM dan pemindahan fungsinya kepada CAAM.

Model penggabungan ini juga digunakan dalam sektor pengangkutan udara global terkemuka, termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan China.

Menjawab soalan daripada hos Jessy Chahal mengenai keselamatan penumpang, Kapten Norazman mendedahkan bahawa CAAM telah menggunakan data besar sejak 2020 untuk menganalisis trend dan mengenal pasti kelemahan dalam syarikat penerbangan, membantu mengukuhkan keselamatan penerbangan.

Beliau juga mengumumkan CAAM sedang berusaha ke arah mewujudkan gudang data menjelang 2027 untuk meningkatkan pengawasan dan meramalkan potensi risiko.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa penumpang untuk meningkatkan keselamatan mereka dengan mengikut segala arahan anak kapal, memakai tali pinggang keledar, dan peka dengan persekitaran mereka.

“CAAM juga sedang berusaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengembara melalui media sosial dan inisiatif-inisiatif lain,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan