KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Salutica Bhd menjelaskan bahawa penurunan mendadak harga sahamnya mungkin disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman oleh anak syarikat kumpulan itu, Salutica Allied Solutions Sdn Bhd terhadap Apple Malaysia Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut berkata mahkamah menolak saman itu pada pagi 17 Jan, 2025, dan membenarkan tuntutan balas terhadap anak syarikatnya, serta mengarahkan Salutica Allied untuk membayar kos sebanyak RM1.2 juta kepada Apple Malaysia.
Penjelasan Salutica ini adalah berikutan pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities.
"Tiada sebarang perkembangan korporat yang berkaitan dengan perniagaan dan urusan kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini," katanya.
Awal hari ini, jualan singkat harian (IDSS) saham Salutica digantung sepanjang hari selepas harga terakhirnya turun lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan asal.
Bursa Malaysia mengumumkan di laman sesawangnya bahawa IDSS bagi saham pengeluar komponen elektronik itu hanya akan diaktifkan semula pada 8.30 pagi pada hari dagangan berikutnya (Isnin, 20 Jan).
-- BERNAMA