KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) hari ini menyumbangkan 105 televisyen pintar (Smart TV) kepada sekolah-sekolah terpilih di negeri Johor.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan televisyen pintar fasa ketiga itu disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh, pada satu majlis di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Mohd Hanafi Samad.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Mohd Anizam Jamian dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin.
Aznan, dalam ucapannya, mengucapkan terima kasih kepada YSIJ atas usaha murni tersebut dan berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk turut serta dalam menyokong pembangunan pendidikan di negeri Johor.
“Saya juga mendoakan agar pihak sekolah akan menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya untuk para pelajar mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran,” katanya.
-- BERNAMA