SUKAN

PERBINCANGAN LANJUT TEMPOH PAJAKAN PADANG KRIKET DI KLANG SEDANG DILAKSANAKAN

18/01/2025 02:27 PM

KLANG, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) sedang dalam perbincangan dengan kumpulan syarikat Sime Darby Property untuk melanjutkan tempoh pajakan penggunaan Bayuemas Cricket Oval sebagai padang rasmi sukan kriket. 

Hannah berkata stadium itu ialah lokasi strategik dan venue yang paling sesuai sebagai padang rasmi sukan berkenaan. 

“Lokasi Bayuemas sedang dinaik taraf oleh Persatuan Kriket Malaysia … kalau kita lihat persekitaran sangat sesuai kerana berdekatan dengan Lembah Klang. Kita berharap supaya tempat ini akan terus menjadi penganjur untuk acara bertaraf dunia. 

“Ia milik Sime Darby, saya bersama persatuan dalam usaha untuk berbincang bagi melihat bagaimana kita boleh mempunyai terma ataupun lanjutan masa supaya pelaburan mereka boleh digunakan untuk masa yang panjang,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian skuad bawah 19 tahun ke Piala Dunia T20 B-19 di Bayuemas Cricket Oval di sini hari ini. 

Sementara itu, Presiden MCA Mohammed Iqbal Ali Kassim berharap sukan kriket diberikan ‘rumah’ sendiri memandangkan sukan itu dilihat mempunyai pembangunan yang baik di tanah air. 

“Saya berharap kerajaan akan memberi perhatian yang lebih dan sebagai permulaan, mungkin jika kita boleh mempunyai tanah sendiri (untuk pembangunan stadium kriket) ia bagus kerana banyak lagi sukan mempunyai rumah sendiri, kami tidak ada.

“… semoga dalam tempoh dua tahun akan datang, kami akan melihat sesuatu yang sangat baik. RM1 juta akan pergi begitu sahaja, tetapi padang sendiri kekal,” katanya. 

Terdahulu, Hannah menyampaikan jersi skuad wanita negara bawah 19 tahun (B-19) yang akan beraksi pada bermula esok. 

Malaysia diundi dalam 'kumpulan sukar' apabila dijadual menentang Sri Lanka pada esok, diikuti bertemu juara bertahan India pada 21 Jan dan West Indies pada 23 Jan dalam Kumpulan A. 

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan