KUANTAN, 18 Jan (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM3 juta untuk bantuan Agihan Zakat Peralatan Persekolahan 2025 kepada golongan asnaf di negeri ini yang akan memberi manfaat pendidikan kepada kumpulan itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP Dr Asmadi Abdul Rahman berkata sebanyak 20 ribu ketua keluarga golongan asnaf dan fakir miskin di seluruh negeri ini dikenal pasti layak menerima bantuan itu.
“MUIP telah memperuntukkan RM3 juta bagi bantuan berkenaan, meningkat 100 peratus berbanding RM1.5 juta pada tahun lepas. Maklumat mengenai bantuan ini kepada 20 ribu ketua keluarga asnaf dan fakir miskin telah disampaikan kepada mereka melalui khidmat pesanan ringkat (SMS).
“(Untuk itu) Mereka perlu mengemas kini maklumat bilangan anak yang bersekolah sehingga 15 Feb di laman sesawang https://muip.gov.my/ untuk MUIP memasukkan jumlah baucar dan ia boleh digunakan sehingga 31 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan bantuan Agihan Zakat Peralatan Persekolah 2025 MUIP di pasar raya Sakan di sini hari ini. Dalam majlis itu, seramai 20 golongan asnaf dan fakir miskin telah menerima bantuan berkenaan.
Asmadi seterusnya menyatakan mereka yang layak akan menerima bantuan dalam bentuk baucar yang dikreditkan ke dalam kad pengenalan atau MyKad ketua keluarga dan boleh ditebus di seluruh pasar raya Sakan di negeri ini.
Tambah beliau, setiap murid sekolah rendah dan menengah akan menerima bantuan baucar sebanyak RM200 seorang manakala bagi anak prasekolah akan menerima RM150 seorang.
Asmadi berkata mereka yang tidak tersenarai sebagai penerima boleh memohon bantuan itu di laman sesawang MUIP atau mengunjungi mana-mana pejabat MUIP berdekatan.
-- BERNAMA