AM

RODA 2 DIDIK PELAJAR IPT KESELAMATAN JALAN RAYA, ELAK TERLIBAT REMPIT

18/01/2025 05:25 PM

ARAU, 18 Jan (Bernam) -- Penganjuran program Advokasi Keselamatan Jalan Raya (Roda 2) mampu mendidik pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di Perlis mengenai keselamatan jalan raya sekali gus meningkatkan kesedaran agar tidak terjebak dalam kegiatan lumba haram. 

Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin berkata lumba haram bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi ia juga berkait rapat dengan masalah sosial lain seperti dadah, rompakan dan gangguan seksual. 

"Melalui sesi ini, kami berharap pelajar mendapat panduan dan kesedaran untuk tidak terlibat dalam aktiviti yang merosakkan masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan program advokasi itu yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Program yang turut diisi dengan sesi forum mengenai isu lumba haram atau rempit itu dianjurkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UniMAP, selain turut diadakan pertandingan Motor Rodeo Piala Ketua Polis Perlis yang julung kali diadakan serta kelas penunggangan berhemah. 

Baderulhisham berkata pelajar perlu memanfaatkan pengisian program itu kerana isu keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia melibatkan isu nyawa bukan sahaja diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.  

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli semasa menjadi antara panel forum melalui program itu menasihatkan pelajar supaya menjauhi aktiviti lumba haram yang bukan sahaja berbahaya tetapi juga menjejaskan pembangunan diri baik dari segi akademik mahupun sahsiah peribadi.  

“Pelajar UniMAP adalah aset penting kepada keluarga, universiti dan negara. Jangan biarkan aktiviti merempit menghancurkan potensi besar yang anda miliki. Sebaliknya, gunakan peluang di universiti untuk menimba ilmu dan membina masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan