AM

BEKALAN IKAN MENCUKUPI MENJELANG TAHUN BAHARU CINA - LKIM

18/01/2025 05:42 PM

PARIT BUNTAR, 18 Jan (Bernama) -- Bekalan ikan menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina adalah mencukupi bagi menampung keperluan pengguna di negara ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata Persatuan Nelayan Kawasan ketika ini mempunyai bekalan stok ikan sejuk beku sebanyak 1,600 metrik tan.

"Ini (bekalan ikan sejuk beku) tidak termasuk dengan bekalan ikan import dan ikan yang ditangkap oleh nelayan.

"Kita (LKIM) telah membuat persiapan rapi sebagai persediaan menghadapi musim perayaan. Insya-Allah dengan bekalan ikan yang cukup, harga (ikan di pasaran) akan distabilkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-Petronas yang turut dihadiri Pengarah LKIM Perak Eries Azwan Deraman di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Tanjung Piandang di sini hari ini.

Pada program hari ini, seramai 130 anak-anak nelayan menerima kelengkapan persekolahan seperti pakaian, kasut, beg sekolah dan botol air bernilai RM150 serta bantuan wang tunai sebanyak RM50 setiap seorang.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata pihaknya menambah peruntukan kuota subsidi minyak diesel sebanyak sejuta liter kepada nelayan Perak bermula Februari depan.

"Kita tambah (kuota subsidi minyak diesel) di Perak sebab negeri ini mempunyai vesel yang banyak.

"Ini kerana kebergantungan kita adalah kepada tangkapan ikan melalui vesel kelas B dan C yang menggunakan minyak diesel, jadi kita berikan sokongan kepada nelayan Perak untuk menambah bilangan pendaratan ikan," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan pada 2025, meningkat berbanding RM2.6 bilion tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan