EKONOMI

BILIK PAMERAN EV PROTON E.MAS PERTAMA DENGAN STESEN PENGECAS DIBUKA DI PULAU PINANG

18/01/2025 06:14 PM

GEORGE TOWN, 18 Jan (Bernama) -- Eleganz Lifestyle Sdn Bhd, sebahagian daripada unit Kumpulan Autolifestyle, hari ini membuka secara rasmi bilik pameran kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS pertamanya di Pulau Pinang.

,Pengarah Urusan Eleganz Lifestyle Ooi Choon Lim berkata ini menandakan satu peristiwa penting dalam peralihan syarikat itu ke arah mobiliti mampan.

Menurutnya, bilik pameran Proton e.MAS itu bukan sahaja mempamerkan komitmen Proton terhadap inovasi dan kemampanan tetapi juga menempatkan stesen pengecasan EV terpantas di wilayah utara, yang mampu mengecas pada kelajuan sehingga 120kW.

“Pengecas ini bukan sahaja untuk kegunaan kenderaan Proton e.MAS kami tetapi juga bagi komuniti pemilik kenderaan elektrik yang semakin berkembang di wilayah ini dan kami komited untuk menyediakan kemudahan yang memenuhi keperluan pemilik EV sambil mempromosikan penerimagunaan kenderaan elektrik yang lebih meluas.

“Bilik pameran kami secara rasmi telah diiktiraf sebagai Hab Hijau Pulau Pinang oleh Majlis Hijau Pulau Pinang, yang menyerlahkan komitmen kami terhadap amalan perniagaan mampan serta peranan kami dalam menyumbang kepada visi Pulau Pinang untuk menjadi bandar hijau contoh,” katanya.

Oii berkata demikian pada majlis pelancaran bilik pameran tersebut di Jalan Jelutong, di sini, yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dengan lokasinya yang strategik berhampiran Jambatan Pulau Pinang dan George Town, bilik pameran itu dilihat sebagai mercu tanda bagi pemilik EV, terutamanya bagi mereka yang melancong ke wilayah utara Malaysia dan stesen pengecasan berkelajuan tinggi itu juga dibuka 24 jam tujuh hari seminggu kepada orang ramai.

Sementara itu, Chow berkata pembukaan bilik pameran Proton e.MAS pertama tersebut akan dapat membantu usaha Pulau Pinang ke arah menjadi hab terkemuka bagi mobiliti mampan.

Menurutnya, dengan lebih 20,000 pendaftaran EV di Malaysia pada 2024,  Pulau Pinang berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat itu dan inisiatif ini sejajar dengan Wawasan Penang2030, yang berusaha untuk mewujudkan negeri yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

"Pembukaan bilik pameran ini adalah langkah yang jelas ke arah mencapai matlamat ini, menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang yang hijau dan mampan, dan memastikan kami kekal di barisan hadapan meneraju kempen kelestarian global.

"Melihat kepada kemajuan ini, tidak lama lagi, kami mungkin mula mempertimbangkan untuk menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap tanggungjawab alam sekitar dan kepimpinan melalui teladan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan