SUKAN

TERBUKA INDIA: DUA WAKIL NEGARA KANDAS DI SEPARUH AKHIR

18/01/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Hasrat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk melangkah ke peringkat akhir Kejohanan Badminton Terbuka India 2025 tidak kesampaian selepas tewas dalam aksi separuh akhir hari ini.

Soon Huat-Shevon Lai Jemie ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin dalam pertarungan selama 51 minit yang diheret hingga ke set penentuan, berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.

Pasangan suami isteri itu memenangi set pertama 21-18, tetapi beregu China berjaya bangkit untuk meraih kemenangan 21-19, 21-9.

Dalam pada itu, nasib sama turut menimpa beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dalam pertemuan menentang Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan apabila tewas 18-21, 18-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Masalah yang sama ialah tiada konsistensi... masih terlalu tergesa-gesa untuk mematikan pukulan lawan dan tidak benar-benar menikmati proses itu. Itulah kesilapan yang selalu kami lakukan berulang kali,” kata Pearly menerusi audio yang dikongsikan oleh Persekutuan Badminton (Dunia (BWF).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan