KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membolehkan aplikasi jual beli motosikal terpakai diintegrasikan dengan sistem mySIKAP bagi urusan transaksi yang lebih mudah, pantas dan selamat.
Menterinya Anthony Loke berkata ia juga bagi mengelakkan sebarang kejadian melibatkan urusan pertukaran hak milik dan saman yang tertunggak.
Beliau berkata walaupun pembeli boleh melakukan semakan saman di aplikasi myJPJ, terdapat kekangan dan kawalan perkongsian data kepada pengguna.
“Perkara ini bagi memastikan pengguna lebih selamat dan terjamin selain boleh melihat dahulu kondisi motosikal tersebut sebelum meneruskan urusan transaksi.
“Sistem pendaftaran motosikal sama dengan kereta, ada geran. Apabila transaksi berlaku ada pertukaran nama, hak milik dan sebagainya. Sekarang perlu buat secara manual di JPJ. Kalau untuk kereta, ada sistem EAUTO yang membolehkan pemilik kereta menukar hak milik, motosikal tak ada lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi jual beli motosikal terpakai Rider Gate di Lanai@ MATIC di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Ramssol Group Berhad Datuk Abdul Harith Abdullah.
Mengulas lanjut, Loke berkata Rider Gate merupakan konsep yang boleh memenuhi pasaran kenderaan terpakai selain dapat meringankan beban pembeli yang ingin memiliki motosikal.
“Rider Gate satu inovasi baharu yang beraspirasi mengubah landskap pasaran motosikal terpakai di Malaysia, menunjukkan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk menyelesaikan cabaran yang selama ini membelenggu pasaran motosikal terpakai seperti risiko penipuan, rekod pemilikan yang tidak jelas dan kebimbangan terhadap kecacatan mekanikal.
“la adalah penyelesaian yang menyeluruh dan inovatif, menawarkan pengalaman transaksi motosikal terpakai yang lebih mudah, pantas dan selamat selain memberi keyakinan kepada pengguna dengan memastikan setiap transaksi dilakukan secara telus dan bebas daripada sebarang risiko penipuan,” katanya.
-- BERNAMA