JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DILAPORKAN HILANG KHAMIS LEPAS DITEMUKAN LEMAS

18/01/2025 10:12 PM

IPOH, 18 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di Sungai Perak dekat Kampung Changkat Parah, Parit hari ini. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat mangsa Rosidi Nor, 43, dijumpai anggota bomba di sungai itu pada 4.10 petang tadi.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada sebelah pagi menumpukan pada kawasan sungai berikutan penemuan kasut mangsa di tebing sungai berkenaan.

"Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan menggunakan bot selepas pencarian di dalam hutan berdekatan gagal menemukan petunjuk.

"Selain itu, turut dilakukan pencarian di kawasan tebing sungai dan pencarian menggunakan bot JBPM serta polis, malah dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Pangkor," katanya dalam kenyataan malam ini. 

Sabarodzi berkata mangsa berjaya dijumpai anggota penyelamat pada jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. 

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) untuk tujuan pengecaman ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Difahamkan, Rosidi yang mempunyai masalah mental dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan