AM

PELBAGAI PROGRAM MENARIK HIASI SAMBUTAN HARI WILAYAH PERSEKUTUAN DI PUTRAJAYA

19/01/2025 11:40 AM

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Hari Terbuka Putrajaya Karnival Wilayah Persekutuan dan Putrajaya Inter Park Ride antara program yang direncanakan untuk diadakan di Putrajaya sepanjang Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata PPj dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kini sedang giat merencanakan program seumpamanya bagi menjayakan SHWP kali ini.

"Kita bersama JWP telah merencana pelbagai program dan akan dilaksana hampir setiap minggu dan dimasukkan dalam senarai aktiviti Hari Wilayah," katanya kepada Bernama dan RTM selepas Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan sempena SHWP 2025 di Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini hari ini.

Sambutan Hari Terbuka Putrajaya dan Karnival Wilayah Persekutuan akan diadakan dari 6 hingga 9 Feb di Dataran Putrajaya.

Sementara itu, Fadlun berkata sebanyak 12,000 unit bendera telah diserahkan kepada ketua komuniti Putrajaya melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Bendera itu akan diedarkan kepada persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga, Badan Pengurusan Bersama dan sekolah di sekitar Putrajaya.

Pada program sama turut berlangsung pelancaran Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) peringkat Putrajaya iaitu dianggarkan 200 sukarelawan akan melaksanakan aktiviti pembersihan di kawasan setempat dan pusat komersial terdekat.

"Selain itu, 1,000 peserta turut menyertai Program Langkah Sihat Komuniti Putrajaya manakala Program Khatan Perdana turut berlangsung melibatkan 280 anak-anak komuniti Putrajaya," kata Fadlun.

SHWP 2025 mengangkat tema 'Wilayah Persekutuan Kita' yang menggambarkan nilai keharmonian, semangat kebersamaan warga Wilayah Persekutuan yang kukuh dan kerjasama erat dalam memacu pembangunan bersama.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan