GEORGE TOWN, 19 Jan (Bernama) -- Selain memasak ponggal (nasi manis) beramai-ramai secara tradisional menggunakan lebih 300 belanga, perarakan 21 kereta lembu turut mencuri tumpuan pada Pesta Ponggal MADANI dan Kebudayaan peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban 2025 di sini.
Perarakan kereta lembu sejauh dua kilometer dari Taman Brown ke Kompleks Belia dan Sukan di Gelugor di sini, yang julung kali dipertontonkan, menarik perhatian lebih 2,000 pengunjung berbilang kaum pada acara anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban itu.
ADUN Batu Uban A. Kumaresan berkata Ponggal merupakan sambutan kebudayaan yang diraikan masyarakat India di negara ini pada tanggal 14 atau 15 Jan setiap tahun.
“Program yang dianjurkan pada hari ini dilihat sebagai platform bagi menghimpunkan semua lapisan masyarakat dalam meraikan perbezaan antara kita,” katanya pada acara itu yang berlangsung di kompleks tersebut dari 2 petang hingga 10 malam ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak selain Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid serta barisan kepimpinan negeri.
Selain itu, Pulau Pinang turut mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Record (MBOR) atas kejayaan menghasilkan replika belanga ponggal terbesar berketinggian 17 kaki yang diperbuat daripada kayu.
Kumaresan berkata replika itu mengambil masa tiga hari itu untuk dihasilkan dan dihiasi 200 kilogram (kg) bunga segar.
Sambutan berupa ‘thiruvizha’ atau festival dalam bahasa Tamil itu turut menyaksikan pertandingan mengikat bunga, pertandingan uriyadi (pecah belanga) di samping persembahan kebudayaan oleh artis tempatan termasuk penyanyi popular lagu ‘Amalina’ Santesh.
Pameran agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) turut diadakan bagi berkongsi maklumat, menawarkan perkhidmatan dan menyebar luas inisiatif agensi berkenaan kepada masyarakat.
Pada majlis itu, pelawak veteran Sathiya Periasamy, 61, atau lebih dikenali sebagai Sathiya diberikan penghargaan apabila menerima sijil ‘Tokoh Sathiya’ selain sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) dan RM5,000 daripada pihak ADUN.
Ponggal merupakan perayaan menuai yang disambut komuniti India di seluruh dunia pada hari pertama bulan Thai dalam kalendar Tamil, sebagai tanda kesyukuran kepada Dewa Matahari (Surya Bhagavan) dan bumi (Bhoomi) atas hasil tuaian yang melimpah dan kemakmuran.
-- BERNAMA