DUNIA

BURSA MALAYSIA TINGGI PADA TENGAH HARI

20/01/2025 02:46 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan sentimen yang lebih baik dengan belian dilihat dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui oleh kaunter perkhidmatan kewangan dan utiliti.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.12 mata kepada 1,569.84 daripada 1,566.72 pada Jumaat lepas. 

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.42 mata kepada 1,571.14 dan turun naik antara 1,563.48 dan 1,575.11 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran turut positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 540 berbanding 335. Sejumlah 453 kaunter tidak berubah, 1,049 kekal tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.89 bilion unit bernilai RM1.29 bilion. 

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan berterusan berikutan jualan baru-baru ini yang mungkin secara berlebihan.

“Oleh itu, kami mengunjurkan indeks akan berada dalam julat 1,570 hingga 1,580 minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, indeks petunjuk pasaran FBM KLCI juga tinggi pada tengah hari ini sejajar dengan indeks serantau yang menyaksikan trend positif berikutan perbincangan positif antara bakal Presiden AS Donald Trump dan pemimpin China Xi Jinping menjelang majlis pelantikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 14 sen kepada RM10.28, CIMB menambah satu sen kepada RM7.99, Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM13.74 manakala Public Bank merosot 15 sen kepada RM4.29 dan IHH Healthcare berkurangan empat sen kepada RM7.11.

Dalam kalangan saham aktif, Ingenieur dan Velocity Capital Partner, masing-masing tidak berubah pada lima sen dan lapan sen, Velesto meningkat 1.5 sen kepada 20 sen, My EG Services menambah dua sen kepada 96 sen dan Gamuda naik sembilan sen kepada RM4.33.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas meningkat 43.58 mata kepada 12,052.41, Indeks FBM Emas Shariah naik 83.26 mata kepada 11,948.92 dan Indeks FBMT 100 menambah 38.84 mata kepada 11,734.81.

Indeks FBM 70 melonjak 117.63 mata kepada 18,063.52 manakala Indeks FBM ACE merosot 0.80 mata kepada 5,175.46.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 16.15 mata kepada 856.70, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.33 mata kepada 167.98 dan Indeks Perladangan menambah 21.33 mata kepada 7,357.77 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 33.84 mata kepada 18,775.03.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan