KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka menerima tiga helikopter baharu AgustaWestland AW139 pada tahun depan, dalam usaha meningkatkan keupayaan penyelamatan terutama di kawasan pedalaman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perolehan aset baharu itu adalah langkah strategik dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi bomba.
“Saya harap ia boleh sampai tahun ini juga tetapi terpulang kepada pihak pengeluar dan kita akan memberikan keutamaan kepada bomba... Model AgustaWestland AW139 telah terbukti sangat efisien.
“Dari segi perolehan aset, memang Kerajaan MADANI amat menitikberatkan kesiapsiagaan bomba. Sebab itu tahun ini KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah memperuntukkan lebih kurang RM220 juta untuk kita terus memberikan aset-aset dan perolehan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Sempena Tahun Baharu Cina 2025 - Op Siaga Raya di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.
Dalam pada itu, Nga berkata kerugian harta benda akibat kebakaran menurun kepada kira-kira RM1.56 bilion pada tahun lepas, berbanding RM2.63 bilion tahun sebelumnya.
Beliau berkata sebanyak 2,204 kes kebakaran dilaporkan pada perayaan Tahun Baharu Cina tahun lepas, dan menasihati semua pihak termasuk perantau supaya mengambil langkah pencegahan kebakaran sebelum pulang ke kampung.
Nga berkata sebagai langkah kesiapsiagaan, sebanyak 70 peratus atau kira-kira 12,000 anggota dan pegawai bomba di seluruh negara dibekukan cuti sepanjang tempoh perayaan berkenaan tahun ini, selain bantuan 375 anggota bomba sukarela.
Ditanya mengenai bacaan indeks jisim badan (BMI) anggota bomba, beliau berkata JBPM terus mengambil kira BMI sebagai kriteria utama dalam penilaian kenaikan pangkat, dengan had maksimum ditetapkan pada 30.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah JBPM bagi melihat paras BMI baharu seperti yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu BMI 28 pada tahun depan.
-- BERNAMA