IPOH, 20 Jan (Bernama) -- Exsim Hospitality Berhad (EHB) dengan kerjasama Exsim Ipoh City Sdn Bhd dan Liew Yin Yin Land Sdn Bhd akan membangunkan sebanyak 420 unit pangsapuri perkhidmatan di Jalan Sultan Idris Shah di sini.
Pembangunan di lokasi strategik merangkumi tanah seluas 0.52 hektar itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM230 juta.
Pengarah Eksekutif EXSIM Hospitality Berhad, Paramjit Singh berkata pembangunan projek itu dijangka bermula pada tahun ini dan siap sepenuhnya menjelang 2030.
"Pangsapuri yang ditawarkan berkeluasan antara 484 kaki persegi sehingga 904 kaki persegi dengan kemudahan seperti dua bilik tidur dan bilik air.
"Setiap unit dijual pada harga bermula RM800 hingga RM850 setiap kaki persegi dan mempunyai kelengkapan penuh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek berkenaan yang melibatkan EHB dengan Exsim Ipoh City Sdn Bhd dan Liew Yin Yin Land Sdn Bhd di sini, semalam.
Paramjit juga menyifatkan kerjasama strategik berkenaan hanya menyerlahkan lagi komitmen EHB terhadap pertumbuhan selain kecemerlangan dalam sektor pembangunan hospitaliti.
"Kami menyasarkan untuk membawa pembangunan yang mampan dan inovatif selain dapat memenuhi keperluan peningkatan permintaan bagi penginapan premium selain meningkatkan nilai untuk semua pihak berkepentingan," katanya.
-- BERNAMA