AM

KPKT PERUNTUK DANA RM642 JUTA BINA PPR DI KELANTAN

20/01/2025 10:31 PM

TANAH MERAH, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan dana sebanyak RM642 juta bagi pembinaan 3,574 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kelantan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada jumlah berkenaan, 3,268 unit rumah PPR telah siap dibina, manakala 306 unit lagi masih dalam proses pembinaan.

“Di Kelantan, kerajaan telah dan sedang membina sebanyak 3,574 unit rumah PPR sehingga Disember tahun lepas. 

“Kerajaan Persekutuan akan terus meningkatkan bilangan unit rumah PPR bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat yang semakin bertambah saban tahun,” katanya.

Aiman Athirah berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program PPR Gual Ipoh di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 104 orang menerima surat tawaran penempatan bagi Program PPR Gual Ipoh fasa satu berkenaan.

Aiman Athirah berkata projek itu melibatkan pembinaan 400 unit rumah kluster setingkat termasuk empat unit rumah bagi memenuhi keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“PPR ini dibina di tanah seluas 15.47 hektar melibatkan kos pembinaan lebih RM80,000 di bawah Rancangan Malaysia ke-10 dan siap pada April 2021.

“Cabutan undi dan penyerahan kunci unit rumah bakal dilaksanakan pada 13 Februari depan, manakala penyerahan surat tawaran bagi fasa seterusnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata PPR Gual Ipoh dilaksanakan di bawah skim sewa untuk beli (RTO) selaras dengan pelan strategik KPKT bagi menyediakan perumahan dan persekitaran berkualiti.

“RTO  ini bertujuan memberikan akses kediaman kepada golongan berpendapatan terendah (B40) tanpa bebanan kewangan permulaan yang tinggi.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan