EKONOMI

RUNDINGAN SEMULA FTA MALAYSIA-EU BAWA MANFAAT KEPADA SEKTOR EKSPORT MALAYSIA - AHLI EKONOMI

20/01/2025 10:49 PM

Oleh Zarul Effendi Razali and Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang terhenti bakal membawa manfaat besar kepada sektor eksport utama Malaysia, terutamanya dalam barangan bernilai tinggi dan sumber asli.

Bagaimanapun, cabaran utama terletak kepada usaha untuk menambah baik persekitaran perniagaan dan menangani keperluan kawal selia dan bukan sekadar menumpukan kepada perdagangan semata-mata, kata ketua ahli ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli kepada Bernama hari ini.

“Sebagai ahli Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia juga berkebolehan dalam merundingkan isu berkualiti tinggi seperti hak harta intelek dan alam sekitar, yang merupakan perkara yang amat diberi perhatian oleh EU,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen hari ini mengumumkan penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA), menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia itu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan berkata penyambungan rundingan itu juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan ekonomi dengan EU, antara rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.

“Pencapaian ini juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi,” katanya.

Menurutnya, MEUFTA dijangka membuka manfaat besar yang merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor kritikal.

“Ia berpotensi untuk meningkatkan eksport antara lainnya dari sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU.

“Selain itu, perjanjian tersebut juga akan menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu EU dalam sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.

Firdaos juga berkata Malaysia meraih manfaat daripada penjajaran semula rantaian bekalan global semasa tempoh awal ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China.

“Dengan pentadbiran baharu AS mempertimbangkan untuk mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas negara tertentu, saya percaya dinamik perdagangan global sudah pasti akan beralih semakin jauh dan bertambah, menjadikannya lebih sukar bagi eksport EU dan syarikat yang bermastautin di luar negara untuk bersaing dalam pasaran tradisional seperti Malaysia,” katanya.

Oleh itu, tegasnya, bagi mengekalkan bahagian pasaran dan pertumbuhannya, penting bagi EU untuk menjalin perjanjian perdagangan dengan Malaysia

“Saya fikir Malaysia harus mengambil pendekatan lebih agresif  dalam menarik lebih banyak pelaburan daripada EU menerusi rundingan yang disambung semula itu,” kata Firdaos.

Menurutnya, sambil menunggu perjanjian itu diratifikasikan beliau menggesa perniagaan Malaysia untuk giat membuat persediaan dan meningkatkan keupayaan mereka bagi memaksimumkan manfaat daripadanya sebaik sahaja ia berkuat kuasa.

Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan EU Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata pada Ahad rundingan bagi FTA itu dilancarkan pada 2010 dan kemudiannya ditangguhkan pada 2012 berikutan ketidaksetujuan Malaysia berhubung beberapa isu seperti sawit, dasar pemerolehan, subsidi dan klausa kelestarian EU.

“Salah satu sebabnya adalah diskriminasi terhadap minyak sawit. Antara isunya adalah dakwaan pembakaran terbuka dan buruh paksa.

“Kita telah melakukan dengan baik dalam usaha menyelesaikan beberapa isu yang menghalang rundingan FTA, antaranya pengenalan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan Perdana Menteri ke Brussels, Belgium dari 19-20, Jan, 2025.

Prof Dr Yeah Kim Leng, felo kanan dan pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara di Universiti Sunway berkata FTA itu berpotensi untuk meningkatkan lagi aliran perdagangan dan pelaburan Malaysia yang besar dengan EU, sekali gus meningkatkan daya tahan luaran dan kepelbagaian geografi.

“Dengan peningkatan ketidaktentuan dalam persekitaran perdagangan global di bawah pentadbiran kedua Donald Trump, FTA itu akan membantu mengimbangi sebarang penurunan aliran perdagangan dan pelaburan Malaysia-AS.

“Selain itu, pengurangan seterusnya halangan bukan tarif juga akan meningkatkan daya tarikan negara kepada pelabur dari EU yang mana Malaysia mengintai pelaburan teknologi yang lebih besar untuk mempercepatkan peralihannya kepada industri pembuatan dan perkhidmatan yang bernilai lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan