Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi susulan kadar pengeluaran yang perlahan dalam beberapa minggu akan datang, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Namun, beliau berkata pergerakan kenaikan harga sedang terhalang oleh permintaan yang semakin lemah daripada negara pengimport utama seperti India dan China.
"Kami melihat paras sokongan pada RM4,150 satu tan dan paras rintangan pada RM4,300 satu tan," kata Ng kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM ditutup sedikit lebih tinggi apabila peniaga menjadi bimbang mengenai asas eksport yang lebih lemah dan pengambilan keuntungan.
Eksport minyak sawit Malaysia dari 1 hingga 20 Jan, 2025, berbanding 1 hingga 20 Dis, 2024, menunjukkan penurunan apabila syarikat pemeriksaan Intertek Testing Services (ITS) melaporkan eksport menurun dari 900,004 tan kepada 736,213 tan iaitu pengurangan sebanyak 163,791 tan atau penurunan sebanyak 18.20 peratus.
Sementara itu, beliau berkata syarikat pemeriksaan bebas Amspec Agri Malaysia (Amspec) melaporkan penurunan dari 889,992 tan kepada 685,373 tan iaitu pengurangan sebanyak 204,619 tan atau penurunan sebanyak 23.0 peratus.
Pada penutup dagangan, bulan kontrak baharu Februari 2025 naik sebanyak RM29 kepada RM4,470 setiap tan manakala kontrak Mac 2025 bertambah RM24 kepada RM4,304 setiap tan.
Kontrak April 2025 menokok RM16 kepada RM4,206 setiap tan, kontrak Mei 2025 berkembang RM21 kepada RM4,143 setiap tan, kontrak Jun 2025 meningkat RM24 kepada RM4,112 setiap tan dan kontrak Julai 2025 melonjak RM21 kepada RM4,091 setiap tan.
Jumlah dagangan susut kepada 58,179 lot daripada 92,079 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 222,880 kontrak daripada 223,575 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan menyusut RM20 kepada RM4,630 setiap tan.
-- BERNAMA