Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, terutamanya didorong oleh penurunan dolar Amerika Syarikat (AS) dan penyusutan berterusan hasil Perbendaharaan AS, susulan data inflasi yang lemah minggu lepas.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ketidakpastian berhubung pelaksanaan dasar Presiden AS yang baru dilantik, Donald Trump, turut memainkan peranan penting dalam mencetuskan kebimbangan pasaran.
“Hari ini, emas berjaya meningkat semula daripada paras sokongan yang dijangkakan iaitu US$2,685-US$2,690 ketika para pedagang mencari aset yang lebih selamat di tengah-tengah isyarat ekonomi yang tidak stabil,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, kontrak semerta Januari 2025 meningkat kepada US$2,708.80 setiap auns troy daripada US$2,702.70 setiap auns troy pada Jumaat, dan Februari 2025 menokok kepada US$2,717.70 daripada US$2,711.20 setiap auns troy sebelumnya.
Kontrak Mac 2025, April 2025 dan Jun 2025 ditutup rendah kepada US$2,725.80 daripada US$2,719.30 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan merosot kepada 27 lot daripada 40 lot pada Jumaat minggu lepas manakala kepentingan terbuka menurun kepada 56 kontrak daripada 78 kontrak sebelumnya.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 17 Jan, harga emas fizikal berada pada US$2,715.20 setiap auns troy.
-- BERNAMA