Daripada D.Arul Rajoo
BRUGES, (Belgium), 20 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) tidak menetapkan sebarang jangka masa untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepat rundingan itu.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perbincangan antara Malaysia dan EU sebelum ini tidak dapat dimuktamadkan susulan beberapa faktor.
“Kita tidak bersedia untuk menerima syarat mereka yang tidak munasabah,” kata beliau kepada media Malaysia pada akhir lawatan dua hari beliau ke Belgium.
Beliau kemudian berlepas ke Switzerland untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.
Rundingan MEUFTA bermula pada 2010 namun ditangguhkan pada 2012 berikutan keraguan Malaysia terhadap dasar pemerolehan minyak sawit, subsidi, dan klausa kemampanan EU.
Satu daripada sebabnya adalah diskriminasi ke atas minyak sawit, terutama dakwaan mengenai pembakaran terbuka dan amalan terhadap tenaga kerja.
Beliau berkata Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berunding dengan EU disebabkan kestabilan politik dan kekuatan ekonomi negara.
Selain itu, Anwar berkata program penghutanan Malaysia telah membolehkan negara memelihara sekitar 54.58 peratus atau 18.05 juta hektar hutan negara.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata ketika pertemuan beliau dengan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepat perbincangan mengenai Perjanjian Rangka Kerja European Investment Bank (EIB).
EU dilaporkan komited untuk melabur €10 bilion (RM46.7 bilion) dalam pelaburan kesalinghubungan di ASEAN.
Terdahulu, menerusi kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, Anwar dan Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen mengumumkan penyambungan semula rundingan MEUFTA, menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia dengan satu daripada blok perdagangan terbesar dunia.
PMO menjelaskan penyambungan semula rundingan itu turut menunjukkan komitmen Malaysia untuk lebih mengeratkan hubungan ekonomi dengan EU sebagai rakan dagang dan pelaburan utama Malaysia.
“Pencapaian ini juga mencerminkan kekukuhan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak dan komitmen bersama untuk memupuk kemakmuran ekonomi,” katanya.
Menurut PMO, MEUFTA dijangka membuka manfaat besar merentas pelbagai sektor ekonomi Malaysia di samping mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor penting.
“Rundingan itu dijangka meningkatkan eksport daripada sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan derivatifnya, serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU, antara lain,” jelasnya.
Pada 2023, EU ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan berjumlah RM206.79 bilion.
Tahun lepas, bagi tempoh Januari hingga November, perdagangan dengan EU meningkat 5.2 peratus kepada RM200 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Setakat 2023, pelaburan EU di Malaysia telah menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.
-- BERNAMA