PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menekankan mengenai kepentingan perkongsian perisikan silang antara rakan serantau bagi mewujudkan zon penampan selamat di rantau ASEAN.
Beliau yang menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AiSSE) di sini hari ini berkata adalah sangat penting untuk memupuk keamanan dan keselamatan di rantau ini, di tengah-tengah cabaran moden yang semakin kompleks.
“Di tengah rantau ini, Malaysia mesti bersungguh-sungguh merancang dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan dengan lebih awal bagi memastikan tiada kesilapan berlaku.
“Selain itu, perkongsian perisikian dalam kalangan rakan serantau juga penting, bagi mewujudkan zon penampan di rantau ini untuk mengekang kesan konflik yang meluas, terutamanya dengan ketidakstabilan yang berterusan di Semenanjung Gaza, Rusia, Ukraine dan Sudan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata mewujudkan keamanan dan penglibatan peradaban adalah penting untuk mencapai pembangunan mampan dan memupuk masyarakat yang inklusif serta berbilang budaya dan rantau.
“Adalah penting untuk tidak mengabaikan ancaman jenayah transnasional yang semakin meningkat, termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pemerdagangan haram dadah, jenayah siber, rompakan maritim dan pemerdagangan sumber alam sekitar, senjata api serta barangan tiruan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan Malaysia telah menggariskan pelbagai strategi untuk memperkasakan keselamatan negara di bawah prinsip MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jelas daripada laporan bahawa ASEAN sememangnya menghadapi beberapa cabaran keselamatan yang ketara, yang merupakan ancaman langsung kepada keamanan serantau jika (perkara itu) tidak diambil serius.
“Kita perlu bekerjasama untuk menjadikan rantau ini selamat dan bebas daripada segala bentuk ancaman keselamatan termasuk ekstremisme dan keganasan,” katanya.
Saifuddin Nasution merujuk kepada laporan pada Oktober 2024 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai dadah dan jenayah, yang antara lain menyentuh mengenai jenayah terancang transnasional, penipuan siber dan perbankan bawah tanah di Asia Tenggara.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur juga akan menjadi peristiwa penting, apabila semua pemimpin ASEAN berkumpul untuk membincangkan keselamatan serantau, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama dan perkongsian maklumat.
“Sidang kemuncak ASEAN ke-47 adalah bukti usaha bersama untuk meningkatkan keselamatan serantau dan mengukuhkan perkongsian ASEAN.
“Sidang ini juga mengulangi seruan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN yang bersetuju bahawa ASEAN harus kekal padu, responsif dan relevan dalam menangani cabaran keamanan dan keselamatan serantau serta memainkan peranan utama dalam membentuk seni bina serantau yang berkembang,” katanya.
Beliau berkata kecerdasan buatan (AI) walaupun tidak dinafikan adalah pemangkin perubahan, tetapi juga membawa risiko baharu apabila semakin ramai penjenayah menggunakannya bagi tujuan jahat.
“Realiti ini menyebabkan kita tidak mempunyai pilihan lain selain mempercepatkan penggunaan AI dalam memerangi jenayah.
“Kita mesti mengutamakan peningkatan kemahiran tenaga kerja, memguasai alatan canggih dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk menangkis ancaman yang muncul,” katanya.
-- BERNAMA