EKONOMI

PENSTRUKTURAN SEMULA HAMPIR SELESAI, MAHB BAKAL CIPTA LEMBARAN BAHARU

22/01/2025 09:04 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) semakin hampir untuk dimuktamadkan apabila penerimaan tawaran sah setakat ini telah mencapai 86.5 peratus, kata seorang penganalisis bank asing.

Beliau berkata ambang 90 peratus ditetapkan kerana pemberi tawaran berhasrat untuk menyahsenaraikan syarikat tersebut.

“Ia adalah tahap yang paling munasabah walaupun tahap penerimaan boleh dikurangkan pada bila-bila masa,” katanya kepada Bernama sambil menambah pengurangan itu berada dalam ruang lingkup Kod Pengambilalihan.

Hak Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya (konsortium) untuk menurunkan syarat penerimaan dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 2.2(iii) dokumen tawaran bertarikh 6 Dis, 2024.

GDA mematuhi Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Ini termasuk semakan semula terhadap syarat penerimaan saham bagi ambang tawaran MAHB yang diturunkan kepada 85 peratus, seperti yang diumumkan oleh konsortium itu pada 20 Jan, 2025 yang dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Nota 7 hingga Perenggan 6.01 Peraturan Mengenai Pengambilalihan, Penggabungan, dan Pengambilalihan Wajib yang dikeluarkan oleh SC.

Semakan ini memerlukan tawaran kekal terbuka sekurang-kurangnya 14 hari selepas pengumuman, yang menetapkan tarikh tutup baharu kepada 4 Feb, 2025.

Selain itu, ia membolehkan pemegang saham yang telah menerima tawaran untuk menarik balik penerimaan mereka dalam tempoh lapan hari selepas semakan, khususnya menjelang 28 Jan, 2025.

“Hanya menunggu masa sebelum MAHB dinyahsenaraikan kerana tidak banyak saham yang tersedia untuk didagangkan.

"Kini dengan tawaran itu tidak bersyarat dan pada 86 peratus, MAHB dijangka dikeluarkan daripada MSCI dan indeks lain, membawa kepada penerimaan selebihnya daripada dana indeks," kata seorang pakar industri.

Dana indeks mencakupi kira-kira 4.0 peratus daripada MAHB, justeru pemilikan konsortium akan melonjak daripada 86 peratus kepada 90 peratus, memenuhi keperluan untuk menyahsenaraikan MAHB.

Konsortium itu menjangka mengisytiharkan tawaran tersebut tanpa syarat dan yakin jumlah penerimaan akan melebihi 90 peratus dan MAHB akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

Beliau berkata penyahsenaraian itu sepatutnya menyediakan lebih banyak modal, yang boleh mengalir ke syarikat mewah lain dan menyokong bidang lain seperti pusat data dan peralihan tenaga.

Penstrukturan semula itu berlaku pada saat kritikal ketika MAHB mengalami kekurangan pelaburan dan kemerosotan perkhidmatan selama beberapa tahun ini yang merupakan petunjuk jelas bahawa mereka memerlukan strategi baharu untuk mentransformasikan kumpulan itu.

"Saya percaya pelabur turut berkongsi pandangan yang sama, seperti yang ditunjukkan menerusi tahap penerimaan yang tinggi terhadap perjanjian itu," katanya.

Beliau percaya tumpuan segera bagi pengendali lapangan terbang itu adalah untuk memastikan perkhidmatan aerotrain dapat berfungsi secepat mungkin.

Selain itu, penetapan semula ruang komersial juga menjadi keutamaan untuk meningkatkan hasil bukan aero, katanya.

"Saya percaya konsortium perlu mewujudkan strategi jangka panjang bagi kumpulan lapangan terbang itu untuk menetapkan pelaburan dan pulangan yang sesuai," katanya.

Beliau berkata transformasi sedemikian dijangka dapat meningkatkan kelebihan daya saing MAHB dalam sektor penerbangan serantau.

Dengan proses penstrukturan semula ​​hampir selesai, MAHB dijangka dapat memanfaatkan sumber dan kepakaran konsortium untuk berubah menjadi entiti yang lebih cekap dan berdaya saing.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan