KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pembelian ke atas Pusat Beli-belah AEON Seri Manjung, Manjung, Perak diunjur memberikan impak positif kepada Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) kerana hartanah itu dijangka merekodkan pendapatan yang lebih tinggi, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Amanah IB).
Dalam nota penyelidikan, MIDF Amanah menjelaskan pusat membeli-belah itu dijangka menjana pendapatan yang stabil untuk Sunway REIT memandangkan hartanah itu merupakan pusat beli-belah utama di Manjung, dengan penyewa utamanya ialah AEON Co (M) Bhd.
“Pembelian itu juga menandakan kepelbagaian geografi bagi Sunway REIT di kawasan utara Malaysia, memandangkan Manjung mempunyai prospek ekonomi kukuh, dengan akses kepada Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dan rangsangan daripada Bandar Perindustrian Maritim Lumut.
“Kami menjangkakan pembelian ini akan meningkatkan sedikit kadar hutang Sunway REIT kepada 0.44 kali berbanding 0.43 kali pada suku ketiga tahun kewangan 2024, dan menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2025 dan 2026 dengan kenaikan +0.8 peratus/+0.6 peratus selepas mengambil kira sumbangan pendapatan daripada Pusat Beli-belah AEON Seri Manjung,” jelasnya.
Baru-baru ini, syarikat itu telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Kar Sin Bhd dan anak syarikat YNH Property Bhd, YNH Hospitality Sdn Bhd untuk membeli Pusat Beli-belah AEON Seri Manjung pada RM138 juta.
Pusat beli-belah itu mempunyai kawasan boleh disewa bersih seluas 427,919 kaki persegi dan disewakan sepenuhnya kepada AEON Co (M) Bhd.
Sementara itu, MIDF Amanah IB turut menjangkakan prospek pendapatan yang lebih kukuh untuk bahagian runcit Sunway REIT, terutamanya didorong oleh naik taraf bahagian Oasis di Pusat Beli-belah Sunway Pyramid.
Pada masa sama, pembelian baharu oleh Sunway REIT iaitu Pusat Beli-belah Sunway 163 dan Pusat Beli-beli Sunway Kluang, juga dijangka meningkatkan pendapatan pada tahun kewangan 2025, tambahnya.
-- BERNAMA