BERITA TERGEMPAR   Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | 
 AM

PM ANWAR SERU RAKYAT MALAYSIA BERI SOKONGAN KEPADA SKUAD KRIKET WANITA BAWAH 19

22/01/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat memberikan sokongan padu kepada skuad kriket wanita kebangsaan bawah 19 tahun, yang kini dalam pertandingan Piala Dunia Kriket T20.

“Barisan jaguh kita akan turun menentang West Indies di Bayuemas Kriket Oval, Klang pada 10.30 pagi esok. Perlawanan ini bakal menentukan kelayakan pasukan kita ke pusingan seterusnya.

“Ayuh Malaysia berikan sokongan padu buat pasukan kriket wanita bawah 19 tahun kita. Doa rakyat Malaysia mengiringi langkah kalian!,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kriket Malaysia Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berterima kasih kepada Anwar atas dorongan beliau menjelang perlawanan 'mesti menang' menentang West Indies itu. 

Beliau berkata Perdana Menteri telah menunjukkan ciri kepimpinan sejati apabila meluangkan masa untuk memberi galakan kepada pemain kriket muda negara.

"Ketika Perdana Menteri mengunjurkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik di persada dunia, begitu juga atlet kita sebagai duta muda yang membawa jenama Malaysia kepada dunia melalui sukan.

"Mereka boleh melangkah ke padang dengan yakin, mengetahui bahawa seluruh negara menyokong mereka," katanya dalam kenyataan.

India kini mendahului kumpulan berdasarkan jumlah larian, walaupun berkongsi empat mata dengan Sri Lanka manakala West Indies dan Malaysia masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Hanya tiga pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan Super Six, iaitu 12 pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk bersaing merebut tempat ke separuh akhir.

Pasukan di tempat terbawah dalam peringkat kumpulan akan bersaing dalam playoff penentuan tempat ke-13 hingga ke-16.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan