EKONOMI

STRATEGI GLOBALISASI MALAYSIA AKAN BANTU PKS HADAPI CABARAN TARIF AS

23/01/2025 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Strategi globalisasi Malaysia akan membantu kalangan pengeksport terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran tarif Amerika Syarikat (AS), menurut Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia).

Presiden Kebangsaan SME Malaysia Chin Chee Seong menggesa pengeksport dan PKS supaya memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah dimeterai Malaysia untuk mengurangkan halangan perdagangan serta memudahkan pergerakan bagi meminimumkan pergantungan kepada pasaran tertentu.

“Kita mempunyai pemikiran bertaraf antarabangsa, yang memberikan kita beberapa kelebihan. Banyak produk kita tidak dapat dieksport ke AS akibat sekatan, seperti perabot. Bagaimanapun, kita mengalihkan tumpuan dan menyasarkan pasaran seperti Jepun dan Taiwan.

“Bagaimanapun, jika kerajaan tidak membantu kami membuka lebih banyak pasaran seperti BRICS, yang memberi manfaat, kami memerlukan sokongan untuk mengetengahkan produk kami kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Daya Tahan dan Pertumbuhan PKS Malaysia 2025 di sini, Khamis.

Beliau berkata pihaknya yakin China akan terus menjadi antara rakan dagang dan pelaburan utama Malaysia, walaupun berkemungkinan dikenakan tarif tertinggi oleh AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Chin berkata telah banyak kerjasama Malaysia-China dalam sektor pembuatan, menjadi bukti kepada minat yang semakin meningkat dalam perdagangan dan potensi untuk peningkatan kerjasama inovasi dalam industri itu.

“Bukan sahaja Kuala Lumpur malah juga bandar-bandar kecil di selatan Malaysia boleh dipromosikan untuk menjadi hab bagi China,” katanya.

Beliau berkata pihaknya yakin Malaysia masih akan mengalami tekanan sekiranya ekonomi dunia menjadi perlahan akibat perang tarif dan tindakan balasnya, walaupun PKS hanya menyumbang 11 peratus kepada eksport.

Tinjauan oleh SME Malaysia baru-baru ini mendapati PKS pesimistik terhadap prospek bagi enam bulan akan datang, susulan pelbagai cabaran domestik dan antarabangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan