AM

GULA-GULA APPLE S MENGANDUNGI BAHAN TERLARANG - KKM

23/01/2025 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penjualan produk gula-gula jenama Apple S dihentikan serta-merta selepas mendapati produk itu mengandungi bahan terlarang yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Menurut KKM, hasil pemantauan melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati produk itu mengandungi sibutramina iaitu sebatian kimia yang menyekat rasa lapar dan lazim digunakan untuk tujuan menguruskan badan.

“Bahan ini tidak lagi berdaftar dengan KKM kerana kesan sampingan yang boleh memudaratkan. Antara kesan sampingan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (takikardia) walaupun dalam keadaan rehat.

“Kesan sampingan ringan pula seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Produk itu juga tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, termasuk tiada nama produk dalam Bahasa Malaysia serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar atau pemilik hak pengilangan dan pengimport.

“Produk ini tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengiku Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” tambah KKM.

KKM turut mengarahkan semua peniaga, termasuk di platform atas talian untuk menghentikan penjualan dan penyiaran iklan produk tersebut serta-merta dan hubungi Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan untuk tujuan penyitaan.

Orang ramai yang telah menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan dan dapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli professional kesihatan sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan.

Sebarang pertanyaan berkaitan isu keselamatan makanan, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan