KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Akademi Sains Malaysia (ASM) hari ini melancarkan biografi Felo Kanannya Allahyarham Academician Prof Emeritus Datuk Dr Khalid Yusoff berjudul ‘Khalid Yusoff, The Kampung Boy from Machang: A Biography’.
Presiden ASM Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara berkata ASM telah memulakan projek untuk merekodkan kehidupan saintis terkenal yang menyumbang kepada negara sejak 2010 dan biografi Dr Khalid merupakan buku kesembilan yang dilancarkan.
“Datuk Dr Khalid Yusoff seorang profesor dan pengamal kardiologi yang telah menyumbang banyak kepada negara. Beliau juga membina beberapa fakulti perubatan di negara kita. Beliau tidak dapat melihat hasil usaha kita ini tetapi keluarganya ada hari ini.
“Sebenarnya buku ini telah diusahakan kira-kira tiga hingga empat tahun lepas semasa Allahyarham masih hidup. Tetapi untuk menyediakannya mengambil masa bagi mencari bahan-bahan, gambar dan cerita-ceritanya. Jadi (biografi) ini baru siap tahun lepas dan tahun ini kita lancar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku biografi itu di sini hari ini.
Turut hadir isteri Allahyarham Dr Khalid Academician Prof Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff serta dua anaknya Muhammad Zulqarnain dan Nur Azzah.
Terdahulu, Tengku Mohd Azzman ketika melancarkan buku berkenaan berkata inisiatif penerbitan biografi saintis-saintis yang banyak memberi sumbangan kepada negara telah berkembang menjadi antara projek utama yang amat bernilai buat ASM.
“Melalui naratif itu, kami berharap pembaca dapat menjadikan ia sebagai teladan yang mampu memberi inspirasi kepada mereka. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa negara kita sebenarnya tidak kekurangan ‘hero’ tempatan dalam bidang sains.
“Dengan menceritakan kisah mereka, ASM berharap ia dapat menyemarakkan semangat dalam sains dalam kalangan komuniti kita, terutamanya generasi muda,” katanya.
Allahyarham Dr Khalid yang dilahirkan pada 30 Jan 1955, dilantik sebagai felo akademi itu dalam disiplin sains perubatan dan kesihatan pada 2005 dan meninggal dunia pada 5 April 2021.
Allahyarham yang pernah memegang jawatan Presiden dan Naib Canselor Universiti UCSI (UCSI) mendapat penghargaan tertinggi ASM dan negara selaku Felo Kanan dengan gelaran Academician pada 2019.
Antara sumbangan utama Dr Khalid sebagai Felo ASM ialah penubuhan Malaysian Code of Responsible Conduct in Research (MCRCR) yang mendapat sokongan Majlis Sains Negara dan mencerminkan komitmen beliau dalam memupuk amalan beretika dalam kalangan penyelidik tempatan.
Selain itu, Dr Khalid juga merupakan perintis dalam bidang sains perubatan dan kesihatan yang telah membawa impak besar dalam landskap saintifik Malaysia apabila beliau memainkan peranan penting dalam mempelopori pembangunan nasional sains, kejuruteraan dan teknologi (SET) dalam sains perubatan dan kesihatan.
Antara pencapaian utama beliau adalah mengetuai kajian kohort terbesar Malaysia mengenai penyakit kardiovaskular melalui kajian REDISCOVER, yang melibatkan 13,500 peserta.
“Sumbangannya kepada ujian klinikal berimpak global mentakrifkan semula rawatan untuk serangan jantung, kegagalan jantung, hipertensi, hiperlipidemia dan faktor risiko kardiovaskular lain.
“Juga sebagai pesakit kanser, Dr Khalid mengetuai sendiri Inisiatif Perang Menentang Kanser Malaysia (War-on-Cancer Malaysia Initiative) menggunakan pengalaman beliau dalam memahami penderitaan seorang pesakit dan menangani cabaran sistemik dalam rawatan kanser," menurut kenyataan ASM.
Biografi setebal 232 muka surat itu penerbitan ASM yang ditulis oleh Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim serta disunting oleh isteri Allahyarham dan Majidah Hashim.
-- BERNAMA