SUKAN

RLIR: KRU BOREAS CEDERA, KAPAL LAYAR TERBALIK SEMASA PERLUMBAAN

24/01/2025 04:03 PM

LANGKAWI, 24 Jan (Bernama) -- Seorang peserta Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2025 cedera selepas kapal layar pasukannya terbalik semasa dalam perlumbaan kira-kira 11 pagi tadi.

Karen Rowlands, 72, yang merupakan salah seorang kru kapal Boreas yang bertanding dalam kelas Multihull mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu kanan dan paha kanan telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan lanjut.

Rowlands yang ditemui Bernama di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) berkata kejadian berlaku secara mengejut akibat keadaan angin yang terlalu kuat sehingga menyebabkan kapal yang dikemudi John Hearne dari Australia bersama lima kru termasuk dirinya terbalik secara tiba-tiba.

“Saya berada di sebelah kiri kapal sebelum tergelongsor ke kanan kapal sebelum terjatuh ke dalam laut dan berada di bawah kapal… lebar dari kiri ke kanan kapal adalah kira-kira tujuh meter.

"Saya mendengar bunyi dentuman di kepala saya dahulu dan menyangka saya hanya cedera di kepala, tetapi apabila saya cuba berenang untuk keluar dari bawah kapal, saya tidak dapat merasakan bahu kanan saya. Ketika itu, anak kapal lain membantu mengangkat saya dan letakkan saya di lantai jetski," katanya.

Rowlands berkata selepas diselamatkan, dia terus dibawa ke RLYC dan diberi rawatan awal oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dibawa ke hospital, manakala ahli kumpulannya yang lain masih berada di kapal dan cuba untuk menterbalikkan semula kapal berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif RLYC Azlan Abdullah berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kru pasukan lain yang turut berada berhampiran kapal berkenaan sebelum pihaknya terus menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan.

"Seorang kru sahaja yang mengalami kecederaan dan dia telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Kru yang lain masih berada di lokasi dan sedang terbalikkan semula kapal berkenaan, selepas itu kapal akan ditunda pulang ke RLYC untuk lihat kerosakan yang berlaku.

"Sekiranya ada berlaku sedikit kerosakan, kita akan cuba baiki supaya mereka boleh meneruskan perlumbaan pada hari terakhir esok dan sekiranya tidak dapat dibaiki, mungkin pasukan itu tidak dapat meneruskan dan menghabiskan perlumbaan pada RLIR edisi tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan