PUTRAJAYA, 24 Jan (Bernama) -- Bermula pada 1 Feb ini, semua anggota bomba yang bertugas melalui sistem syif 12 jam atau 24 jam akan mendapat hari rehat mingguan (HRM) sebanyak 26 hari setahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.
Nor Hisham berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta sesi libat urus bersama Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia.
“Kita telah menyusun semula sistem bertugas syif ini untuk kita cuba sebaik mungkin mematuhi pekeliling yang dikeluarkan JPA berdasarkan pelaksanaan SSPA (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam).
“Dengan sistem syif baharu, anggota akan bekerja 50 jam seminggu, iaitu pengurangan sebanyak enam jam. (Syif) sebelum ini pegawai kita kerja sepanjang tahun, kita nampak pegawai tidak ada cuti rehat, jadi kita telah rangka sistem syif baharu ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan JBPM 2025 di sini hari ini.
Nor Hisham berkata penambahbaikan itu bertujuan menjaga kebajikan anggota bomba serta memastikan mereka mempunyai tahap kesihatan fizikal, mental dan sosial yang baik sekali gus meningkatkan kualiti serta produktiviti perkhidmatan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata bermula pada tahun ini, bacaan indeks jisim badan (BMI) anggota bomba akan menjadi kriteria utama dalam anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) bagi memastikan setiap anggota jabatan itu memiliki berat badan ideal dan sentiasa berada dalam keadaan cergas untuk menjalankan sebarang tugasan.
“Tahun lepas, 60 peratus penerima APC ialah mereka yang dalam paras BMI 20 hingga 29.9. Tahun ini, kita tetapkan 100 peratus anggota bomba yang dalam paras BMI ditetapkan sahaja diberi keutamaan untuk menerima APC,” katanya.
Beliau berkata aspek pematuhan BMI itu juga perlu dipatuhi pegawai kanan JBPM bagi memastikan paras BMI tidak melebihi 30.
“Hasrat kita ialah mahu semua pegawai dan anggota memiliki tubuh badan sihat dan mempunyai BMI ideal mengikut standard jabatan,” katanya.
Berkongsi kejayaan program Wellness Hub yang dilaksanakan tahun lepas, beliau berkata sebanyak 921 anggota bomba yang menyertai program itu telah berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh enam bulan.
“Jumlah ini begitu besar walaupun program ini diadakan selama enam bulan. Insya-Allah kita akan laksanakan program ini secara berterusan bagi mengekalkan penampilan imej dan memastikan keupayaan bekerja yang sesuai dengan tuntutan serta tugasan perkhidmatan kebombaan,” katanya.
-- BERNAMA