MERSING, 24 Jan (Bernama) -- Sepasang suami isteri maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Mersing-Endau, Kampung Bukit Buruk di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata mangsa Shahrom Tahir, 74, dan Zainab Yusoff, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.17 tengah hari.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan melibatkan Perodua Alza dan kereta Volkswagen yang dinaiki Shahrom serta Zainab yang terbabas ke dalam anak sungai, kesemua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan PKO.
“Selain itu, seorang lelaki dan wanita yang turut menaiki kereta Volkswagen serta seorang wanita menaiki kereta Alza cedera manakala tiga yang lain dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA