SEREMBAN, 24 Jan (Bernama) -- Polis akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan rondaan di 19 lokasi ‘hotspot’ atau kawasan kerap berlaku kemalangan dan tiga lokasi ‘blackspot’ (kawasan kerap berlaku kemalangan maut) pada musim perayaan ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lokasi ‘hotspot’ membabitkan semua daerah antaranya bulatan Bukit Chedang, Jalan Rasah, Jalan Sungai Ujong, Jalan Dato' Bandar Tunggal, Plaza Tol Pedas-Linggi di Rembau dan Jalan Persiaran Nilai.
“Selain itu, Jalan Pantai, Dataran Teluk Kemang, Jalan Seremban-Port Dickson, Persimpangan Gemencheh-Batang Rokan, Jalan Tampin-Gemas, Jalan Ulu Bendul-Terachi-Pekan Kuala Pilah, Jalan Bahau- Rompin dan sekitar Pekan Kuala Klawang Jelebu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata tiga lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut pula adalah di Port Dickson iaitu KM 11 Jalan Seremban, KM 19-22 Jalan Seremban-Simpang Pertang (Jelebu) dan KM 28 Jalan Seremban-Kuala Pilah (Kuala Pilah).
Dalam pada itu, beliau menjangkakan 790,000 kenderaan akan memasuki Negeri Sembilan sempena perayaan Tahun Baharu Cina iaitu pertambahan 339,000 kenderaan berbanding hanya 451,000 kenderaan pada hari biasa.
“Justeru, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, Op Lancar sempena perayaan Tahun Baharu Cina turut dilaksanakan selama 10 hari bermula pada 24 Jan sehingga 2 Feb ini," katanya.
Ahmad Dzaffir berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen negeri juga melancarkan Op Selamat selama enam hari bermula 28 Jan.
Operasi itu katanya membabitkan 257 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran lalu lintas selain rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.
Beliau turut menasihati orang ramai yang ingin meninggalkan rumah sempena cuti perayaan supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan dengan mengisi borang balik kampung sekali gus memudahkan pemantauan pihak berkuasa.
-- BERNAMA