DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA MELEPASI US$2,800 SETIAP AUNS TROY MINGGU DEPAN

25/01/2025 10:25 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, dengan harga dijangka melepasi paras US$2,800 setiap auns troy susulan kelemahan dalam dolar US, kata rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

Beliau berkata melainkan pengumuman data perbelanjaan penggunaan peribadi Amerika Syarikat pada minggu depan atau Rizab Persekutuan yang agresif mungkin mengubah trajektori semasa, emas boleh dengan mudah menguji dan melepasi rintangan pada US$2,810 setiap auns troy.

“Sokongan dijangka sekitar US$2,760 setiap auns troy tetapi penembusan melebihi US$2,800 setiap auns troy boleh merungkai rintangan ke atas itu,” katanya kepada Bernama.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Januari 2025 ditutup lebih tinggi pada US$2,777.0 setiap auns troy naik berbanding US$2.702.70 setiap auns troy yang disaksikan semasa minggu sebelumnya.

Sementara itu, kontrak Februari 2025 menokok sebanyak US$2,785.90 setiap auns troy daripada US$ 2,711.20 setiap auns troy.

Kontrak Mac, April dan Jun 2025 semuanya ditutup tinggi pada US$2,794.80 setiap auns troy daripada US $2,719.30 setiap auns troy pada minggu lepas.

Jumlah dagangan melonjak kepada 60 lot berbanding 40 lot, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 85 kontrak daripada 78.

Berdasarkan penetapan petang London Bullion Market Association pada 23 Jan, harga emas fizikal berada pada US$2,744.25 setiap auns troy.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan