PUTRAJAYA, 25 Jan (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menjemput atau melibatkan mana-mana individu, termasuk 12 warga Bangladesh yang baru-baru ini ditahan, untuk menjalani latihan di Akademi Perikanan Malaysia.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata pemakaian pakaian berlogo DOF oleh individu tersebut adalah bertujuan mengelirukan pihak penguatkuasaan negara.
"Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan imej jabatan, malah boleh menggugat integriti dan kredibiliti institusi kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menyeru orang ramai agar berhati-hati dengan pihak yang menyalahgunakan nama atau identiti jabatan untuk kepentingan tertentu.
Katanya sebarang maklumat yang mencurigakan boleh dilaporkan terus kepada pihak berkuasa.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak penguatkuasaan dan memastikan langkah-langkah proaktif diambil bagi mencegah insiden seperti ini daripada berulang pada masa akan datang," katanya.
Adnan turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas kejayaan operasi menahan individu-individu tersebut.
“Tindakan pantas dan tegas itu mencerminkan komitmen tinggi pihak penguatkuasaan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Sementara itu, JIM hari ini membongkar taktik sekumpulan warga Bangladesh menyamar sebagai pelatih Akademi Perikanan Malaysia.
Dilaporkan seramai 12 lelaki yang berpakaian seragam telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Jumaat lepas.
Kesemua individu terbabit mendakwa kedatangan mereka ke negara ini untuk tujuan lawatan sambil belajar sebagai pelatih Akademi Perikanan Malaysia dan turut mengemukakan surat jemputan daripada sebuah syarikat yang beralamat di Kuching, Sarawak.
Namun semakan lanjut mendapati surat jemputan tersebut disahkan tidak wujud.
-- BERNAMA