POLITIK

JAWATAN YANG DIPERTUA DAN EMPAT PEMIMPIN UTAMA PBB TIDAK DIPERTANDINGKAN - NANTA

27/01/2025 12:29 AM

KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menerima usul daripada kesemua 82 cawangannya supaya jawatan Yang Dipertua parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung PBB bulan depan.

Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kesemua cawangan itu juga telah mengemukakan usul supaya kedua-dua-dua jawatan Timbalan Yang Dipertua serta dua jawatan Naib Yang Dipertua Kanan parti itu juga tidak dipertandingkan.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di sini malam ini, beliau berkata borang penamaan calon untuk tujuh jawatan Naib Yang Dipertua serta 30 ahli majlis kerja tertinggi akan mula diedarkan dalam tempoh beberapa hari lagi. 

“Mesyuarat tadi telah menetapkan supaya pihak sekretariat untuk mengeluarkan surat penamaan calon ini dan (pencalonan) akan ditutup seminggu sebelum perhimpunan agung parti,” katanya.

Jawatan Yang Dipertua PBB disandang Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak, manakala dua jawatan Timbalan Yang Dipertua adalah Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dua jawatan Naib Yang Dipertua Kanan PBB pula masing-masing disandang Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Stephen Rundi yang merupakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak.

Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Abang Johari itu turut mengumumkan seramai 3,213 perwakilan dan pemerhati dijangka menghadiri perhimpunan agung parti itu yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 Feb ini.

“Buat julung-julung kalinya juga perhimpunan agung kali ini akan dihadiri sayap belia parti untuk mereka yang berumur di antara 18 hingga 28 tahun,” katanya sambil menambah perhimpunan itu akan dirasmikan oleh Abang Johari.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan