KUANTAN, 27 Jan (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian hampir RM166,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud secara dalam talian, awal bulan ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 26 tahun itu berminat menyertai pelaburan terbabit kerana dijanjikan keuntungan antara enam hingga 19 peratus daripada jumlah pelaburan.
“Mangsa diberikan pautan untuk mendaftar sebagai ahli di sebuah laman web dan mula melabur pada 1 Jan lepas dengan menggunakan wang simpanannya.
“Mangsa membuat transaksi perbankan ke lima akaun bank berbeza diberikan suspek hingga 20 Jan sebelum berasa curiga kerana diminta membuat pelbagai bayaran bagi membolehkan hasil pelaburan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yahaya berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA