EKONOMI

PASARAN PEJABAT MALAYSIA MENINGKAT DENGAN RUANG PREMIUM, PERMINTAAN TERHADAP ESG - KNIGHT FRANK

27/01/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pasaran ruang pejabat Malaysia menunjukkan trajektori yang memberangsangkan, dengan penyewa global dan tempatan terus mencari ruang premium yang memenuhi piawaian tempat kerja dan kemampanan yang berkembang, menurut firma perunding hartanah Knight Frank Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Keith Ooi berkata pasaran hartanah Malaysia berkembang sejajar dengan trend serantau, dengan permintaan meningkat untuk pejabat mematuhi alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) serta pembangunan yang diperakui hijau, mendorong aktiviti pelaburan yang ketara.

“Dapatan daripada Real Estate Highlights (REH) untuk separuh kedua 2024 dan Kajian Sentimen Pelaburan Hartanah Komersial (CREISS) 2025 menekankan potensi negara yang kukuh untuk pertumbuhan mampan dan peluang penempatan semula aset inovatif pada tahun akan datang.

“Sektor pejabat terus membuat perubahan apabila syarikat memberi penekanan lebih besar kepada ruang berkualiti tinggi yang diperakui ESG untuk menarik dan mengekalkan bakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ooi berkata peralihan kepada 'pejabat premium' ini telah mendorong pelaburan yang besar dalam pengubahsuaian dan pembangunan semula, terutamanya di lokasi utama seperti Kuala Lumpur.

“Dapatan terkini kami daripada CREISS 2025 dan REH separuh kedua 2024 menekankan tumpuan yang meningkat kepada penyelesaian diperakui hijau selaras dengan matlamat kemampanan korporat, menjadikan Malaysia sebagai pasaran yang menarik dengan menawarkan keseimbangan kecekapan kos dan ruang pejabat premium,” katanya.

Laporan itu mendedahkan bahawa 45 peratus daripada urus niaga pejabat yang diperuntukkan untuk pembangunan semula atau pengubahsuaian tertumpu pada menaik taraf dan meningkatkan spesifikasi pejabat pada 2024.

Isu bangunan usang mendapat perhatian pada tahun lepas apabila bangunan Gred B dan peringkat rendah menghadapi cabaran dalam sewaan berikutan trend peralihan kepada kualiti yang semakin meningkat dalam kalangan penghuni korporat.

Peralihan ini membuka peluang pelaburan yang ketara dalam segmen nilai tambah, terutamanya dalam memberi nafas baharu kepada bangunan yang telah berusia dengan memasukkan ciri-ciri ESG dan kesejahteraan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan