JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS AKAN PANGGIL SEMULA SAKSI KES TEOH BENG HOCK UNTUK SIASATAN LANJUT

27/01/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Polis akan memanggil semula saksi yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock dalam masa terdekat, susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Nov untuk menyiasat semula semua aspek berkaitan kes tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya akan mengenal pasti saksi yang perlu dirakam semula kenyataan mereka selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina.

“Saya yakin proses ini tidak akan mengambil masa yang lama dan kertas siasatan akan dikembalikan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita dalam sesi libat urus bersama wartawan di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata beliau dan pegawai penyiasat juga akan menjalankan siasatan semula di lokasi kejadian kematian bekas pembantu exco Selangor itu.

“Kita telah mendapat perintah mandamus daripada mahkamah tinggi untuk menyerahkan kertas siasatan lengkap mengenai kes ini pada Mei ini. Seperti semua sedia maklum, kes ini sudah kira-kira 15 tahun dan telah berlaku banyak perubahan di lokasi berkenaan,” katanya.

Pada 21 Nov 2024 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian mendiang dalam tempoh enam bulan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teo terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Teo ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang yang ketika itu ialah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Sementara itu mengulas mengenai kes serangan simbah asid melibatkan pemain kebangsaan dan Selangor FC Muhammad Faisal Halim atau Faisal Halim, Mohd Shuhaily menjelaskan siasatan kejadian berkenaan masih berjalan.

Menegaskan siasatan kes itu tidak pernah ditutup, Mohd Shuhaily bagaimanapun menjelaskan buat masa kini pihaknya masih tidak mempunyai petunjuk baharu yang dapat membantu siasatan.

Pada 5 Mei 2024, Faisal Halim, 26, menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Kuala Lumpur menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian badan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan