KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia terus komited untuk memastikan kerjasama berterusan antara syarikat minyak dan gas nasional kedua-dua negara iaitu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PT. Pertamina (Persero) dari Indonesia.
“Komitmen kita (adalah) untuk memastikan kerjasama Petronas dan Pertamina, dua syarikat kepimpinan gergasi di rantau ini supaya lebih mempunyai kesepakatan untuk meneroka, mengalu-alukan haluan baru dan juga bidang perniagaan baharu,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama-sama Presiden Indonesia Prabowo Subianto bersempena Lawatan Negara pertama Presiden tersebut ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Anwar dan Prabowo menyaksikan pemeteraian dua surat hasrat (LOI) antara Axiata Group Bhd dan Sinar Mas yang berpangkalan di Indonesia untuk meneroka dan memajukan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat.
Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, Axiata dan Sinar Mas berkata LOI pertama itu menyediakan asas kukuh untuk menggerakkan perbincangan terperinci menggariskan projek dan inisiatif khusus yang memacu kerjasama selanjutnya berhubung potensi sinergi di Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara.
“Memanfaatkan ekosistem telekomunikasi masing-masing, Axiata dan Sinar Mas menyasar untuk meneroka peluang menyediakan nilai bagi pemegang kepentingan dalam beberapa bidang pertumbuhan tinggi, termasuk penyelesaian 5G canggih, perkhidmatan perusahaan, infrastruktur digital dan inovasi teknologi kewangan (fintech).
"Potensi daripada kemajuan ini dijangka dapat menyokong inisiatif transformasi digital di seluruh rantau ini," kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Vivek Sood berkata, LOI itu merupakan langkah penting dalam memajukan kerjasama serantau untuk membentuk gelombang transformasi digital Asia Tenggara yang seterusnya dan memajukan perkhidmatan di kawasan pertumbuhan tinggi.
“Dengan mengukuhkan perkongsian berterusan kami dengan Sinar Mas, kami menyasar untuk memanfaatkan potensi transformatif 5G, penyelesaian perusahaan dan infrastruktur digital untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan merapatkan jurang digital di seluruh Malaysia, Indonesia dan melangkaui darinya,” katanya.
LOI kedua yang dimeterai adalah mengesahkan semula pelbagai komitmen Axiata dan Sinar Mas seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Definitif yang diumumkan bersama pada 11 Dis 2024 untuk memajukan cadangan penggabungan PT XL Axiata Tbk, PT Smartfren Telecom Tbk dan PT Smart Telcom bagi membentuk PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk di Indonesia.
“LOI itu mengesahkan niat bersama kami dalam urus niaga penting ini, yang memberikan XLSmart gabungan nilai perusahaan pra-sinergi melebihi 104 trilion rupiah (RM28 bilion).
“Ia melambangkan visi kolektif yang kukuh untuk memupuk inovasi, menambah baik kualiti perkhidmatan pelanggan dan meningkatkan kesalinghubungan digital di Indonesia sambil menyumbang kepada pasaran yang lebih sihat dan lebih kompetitif” katanya..
Menurut kenyataan itu, LOI tersebut mengulangi hasrat pihak-pihak untuk, antara lain, bekerjasama bagi memenuhi syarat-syarat yang dipersetujui dalam Perjanjian Definitif untuk memastikan perkembangan urus niaga yang lancar.
-- BERNAMA