KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ekovest Bhd memperoleh lanjutan akhir selama enam bulan untuk meneruskan perbincangan mengenai cadangan penggabungan antara anak syarikat milik penuhnya, Ekovest Construction Sdn Bhd (ECSB) dengan Knusford Bhd.
Ekovest menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata tempoh lanjutan dari 28 Jan 2025 hingga 27 Julai 2025 itu memberikan lebih masa kepada kedua-dua pihak untuk menilai dan membincangkan penggabungan secara terperinci, serta merundingkan syarat-syarat perjanjian muktamad.
Oktober tahun lepas, Ekovest menandatangani perjanjian dasar induk yang mengikat dengan pemegang saham utamanya, Tan Sri Lim Kang Hoo, dan Knusford Bhd untuk menyatukan perniagaan pembinaan dan berkaitan pembinaan Lim.
Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, Ekovest akan menjual keseluruhan pegangannya dalam ECSB kepada Knusford pada harga RM450 juta, dengan Knusford membiayai pengambilalihan itu melalui terbitan saham baharu pada 60 sen sesaham.
-- BERNAMA