KUCHING, 27 Jan (Bernama) -- Seramai 34 mangsa banjir daripada 13 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Steven di daerah Tatau, Sarawak, kerana keadaan bencana itu masih belum membolehkan mereka kembali ke kediaman masing-masing.
Menurut laporan terkini Sekretariat Jawatankuasa Bencana Sarawak, mangsa dari kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala Muput telah dipindahkan ke PPS berkenaan sejak 23 Januari yang lalu.
Sekretariat itu turut melaporkan paras air yang meningkat di kawasan Uma Sambop Long Semutut di daerah Belaga serta di tiga buah rumah panjang di daerah Sebauh.
Sementara itu, di daerah Mukah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah menghantar bantuan makanan kepada penduduk di Kampung Sitieng, yang terputus hubungan jalan raya akibat banjir kilat.
-- BERNAMA