AM

TAHUN BAHARU CINA: ALIRAN TRAFIK LANCAR DI BEBERAPA LEBUH RAYA UTAMA

28/01/2025 11:47 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar pagi ini namun pergerakan kenderaan perlahan ke arah Pantai Timur akibat berlakunya kemalangan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia ketika dihubungi Bernama memaklumkan setakat 10.15 pagi ini, kenderaan bergerak perlahan di Genting Sempah ke Bukit Tinggi iaitu di Kilometer (KM) 43.4 dan Bentong ke Karak (KM 61.4) akibat berlaku kemalangan yang menyebabkan lorong kanan terhalang.

Selain itu, kenderaan turut dilaporkan bergerak perlahan di  KM 25.1 Senai Utara-Kulai arah utara akibat berlaku kemalangan menyebabkan lorong kecemasan terhalang.

“Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, LPT 2, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Gombak dilaporkan lancar di kedua-dua arah dan dijangka meningkat tengah hari nanti sempena Tahun Baharu Cina esok,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya laluan 'Smartlane' di beberapa lebuh raya utama turut diaktifkan hari ini, antaranya melibatkan laluan Tangkak ke Jasin (KM 174 - KM 180.3 arah utara), Ayer Keroh ke Jasin (KM 174 - KM 180.3 arah utara) dan Sungkai ke Slim River (KM 354 - KM 356 arah selatan).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan