JENAYAH & MAHKAMAH

SUSPEK RAGUT WANITA WARGA EMAS DIBERKAS

28/01/2025 04:36 PM

KANGAR, 28 Jan (Bernama) -- Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki meragut beg tangan seorang wanita warga emas di Jalan Mutiara, Taman Mutiara, di sini pada 20 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Batu Pahat, Kampung Syed Omar, di sini, tiga hari selepas kejadian.

“Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum dia berjaya diberkas," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata kejadian ragut itu berlaku pada 9.45 pagi ketika mangsa berusia 75 tahun berjalan kaki berseorangan melalui lorong kecil berhampiran Bukit Lagi, sebelum dihampiri suspek yang menaiki motosikal dari arah belakang lalu meragut beg tangannya.  

"Beg tangan mangsa mengandungi wang tunai RM200, telefon bimbit jenis Oppo A96 dan kunci rumah. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Yusharifuddin berkata lelaki terbabit didapati memiliki lapan rekod jenayah dan dadah sejak 2011 termasuk tiga kes ragut yang berlaku di sekitar Kangar.

Lelaki itu yang positif terhadap dadah jenis methamphetamine, katanya kini direman hingga 31 Jan ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan