EKONOMI

PIAM, PIHAK BERKEPENTINGAN BEKERJASAMA ATASI KENDERAAN KERUGIAN MENYELURUH

28/01/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Syarikat-syarikat insurans am dan takaful sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama mengenai isu kenderaan kerugian menyeluruh (total loss), menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM). 

 Persatuan itu berkata pihak berkepentingan itu merangkumi Bank Negara Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perkhidmatan Insurans Malaysia, Puspakom dan Persatuan Takaful Malaysia. 

PIAM menyokong inisiatif JPJ untuk menguatkuasakan pemeriksaan yang ketat pada kenderaan yang dibaiki selepas kemalangan dan menyokong sepenuhnya ketelusan dalam memastikan bahawa hanya kenderaan yang dianggap selamat serta sesuai untuk kegunaan jalan raya sahaja, dibenarkan bergerak kembali.

“Keselamatan pengguna jalan raya menjadi kebimbangan utama kami. Oleh itu, kenderaan yang diisytiharkan diluar pembaikan berekonomi (BER) oleh penanggung insurans mesti dinilai dan diperbaiki dengan sewajarnya,sebelum kenderaan dibenarkan kembali ke jalan raya, semua dokumentasi seperti pensijilan jalan raya oleh penyedia pemeriksaan kenderaan bertauliah perlu diperolehi,” katanya.

Kenyataan PIAM hari ini dibuat sebagai respons kepada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli mengenai pematuhan yang lebih ketat dengan piawaian lelongan bagi kenderaan yang dikategorikan sebagai BER dan kemudahan rawatan automotif berlesen (AATF).

Persatuan itu juga menggesa pemilik kenderaan untuk memastikan kenderaan mereka dilindungi oleh insurans permotoran, sama ada dari penanggung insurans baharu atau kekal dalam penanggung insurans asal yang telah mengisytiharkan kenderaan mereka sebagai BER.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan