PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Proses penyaluran bantuan kewangan kepada pelajar India B40 di bawah Program Bantuan Awal Kemasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) (IPT MITRA 4.0) 2024 sedang dilaksanakan secara berperingkat bermula Disember lepas hingga akhir Februari ini.
Dalam kenyataan hari ini, MITRA memaklumkan pihaknya telah menerima 12,626 permohonan daripada pelajar India seluruh negara dan menerusi saringan yang dilakukan, sebanyak 2,461 pelajar telah menerima bantuan itu setakat hari ini.
“Bagaimanapun semasa saringan dilaksanakan, didapati kebanyakan dokumen tidak lengkap, kurang sahih dan menimbulkan keraguan kerana MITRA mahu bantuan tersebut disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak.
“Justeru, pihak MITRA sedang membuat proses semak silang data dengan IPT berkaitan selain dalam proses mendapatkan pengesahan status B40. Isu yang timbul antaranya nombor akaun bank tidak dikemukakan dan tiada surat pengesahan daripada universiti,” menurut MITRA.
Pemakluman berkenaan senarai pelajar yang layak akan dimaklumkan secara berperingkat menerusi portal MITRA dan laman Facebook MITRA.
MITRA memperuntukkan dana sebanyak RM25 juta kepada 12,400 pelajar di bawah IPT MITRA 4.0, iaitu mereka akan menerima RM2,000 dan RM3,000 bagi pelajar Orang Kurang Upaya secara sekali beri yang disalurkan menerusi Bank Simpanan Nasional.
Maklumat lanjut mengenai bantuan itu boleh didapati menerusi talian 03-88866192 atau e-mel kepada charaniyaa@mitra.gov.my atau ktk_prishanthini@mitra.gov.my.
-- BERNAMA