SUKAN

MASTERS THAILAND: AARON-KHAI XING MARA KE PUSINGAN KEDUA

28/01/2025 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Juara Dunia Remaja 2024 Aaron Tai-Kang Khai Xing mara ke pusingan kedua Masters Thailand selepas mengetepikan gandingan tuan rumah Pongsakorn Thongkham-Wongsathorn Thongkham hari ini.

Pada aksi berlangsung di Nimibutr Arena, Bangkok, pasangan negara mengambil masa 31 minit sebelum menang mudah 21-16, 21-18 untuk menempah pertemuah dengan wakil Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin.

Terdahulu, Muhammad Shohibul-Daniel menewaskan gandingan India K.Viraj-K Viplav 21-13, 21-10.

Turut mara ke pusingan kedua, adalah pemain profesional negara, Goh V Shem yang bergandingan dengan Choi Sol Gyu dari Korea Selatan.

V Shem-Sol Gyu menumpaskan beregu negara Goh Boon Zhe-Wong Vin Sean 21-16, 21-18 dan akan bertemu wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana di pusingan kedua Khamis ini.

Leo-Bagas mara selepas menewaskan beregu profesional negara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao 21-15-21-12.

Sementara itu, beregu wanita muda negara Ong Xin Tee-Carmen Ting melepasi halangan pertama selepas mengalahkan S Kavipriya-S Simran dari India 21-17, 21-14.

Pasangan itu dijadualkan berdepan pemenang bagi perlawanan melibatkan wakil Taiwan, Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao menentang Natchananpon Roongpiboonsopit-Sirada Roongpiboonsopit.

Nasib berbeza buat beregu profesional lelaki negara Low Hang Yee-Ng Eng Chong yang tersingkir awal selepas tewas kepada gandingan Thailand Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa Nga 21-17, 21-19.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan