KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) --Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tambahan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) melibatkan laluan KL Sentral-Butterworth dan sebaliknya sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah ini.
KTMB, dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan bahawa tiket tren tambahan itu akan mula dijual pada pukul 10 pagi esok bagi perjalanan yang bermula pada 30 Jan hingga 2 Feb ini.
“Tren tambahan ini akan beroperasi selama empat hari dan menawarkan 630 tempat duduk setiap hari, termasuk kemudahan kelas perniagaan, dengan jumlah keseluruhan 2,520 tempat duduk.
“Tren akan berlepas dari KL Sentral pada pukul 4.45 petang dan tiba di Butterworth pada pukul 8.50 malam, manakala dari Butterworth, tren akan berlepas pada 11.20 pagi dan tiba di KL Sentral pada 3.25 petang,” katanya.
KTMB memaklumkan bahawa inisiatif perkhidmatan ETS tambahan itu adalah bagi memenuhi permintaan penumpang yang tinggi serta menawarkan perjalanan yang selesa dan selamat kepada pengguna.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my untuk pembelian tanpa tunai. Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau melayari media sosial rasmi KTMB untuk pertanyaan lanjut.
-- BERNAMA